Pages

Thursday, November 21, 2013

Semoga Bertemu di Sana Nanti

1. November 15, 2013. Mohd Azem Sameer bin Noor Zamri.

Kelmarin, terserempak profilnya di Instagram. Ternampak gambarnya di majlis ilmu bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. MasyaAllah, terasa kerdil melihat sahabatku yang seorang ini.

Jumaat pagi itu dikejutkan dengan berita pemergiannya. Perginya seorang lagi sahabat seperjuangan di Intesaber. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Terasa kesal tidak sempat bertegur sapa dengannya, tetapi apakah daya, yang pergi, pasti tidak akan kembali. 

Berbahagialah engkau di sana, sahabat. 

Al-Fatihah.

2. November 17, 2013. Ahmad Ammar bin Ahmad Azam.

Siapakah dia Ahmad Ammar yang Ustaz Hasrizal post ni? Carian di laman Google tidak memberikan jawaban yang positif. Terasa marah dengan posting Ustaz Hasrizal yang satu ini.

Beberapa hari kemudian laman Facebook mula dipenuhi dengan video "GPTD: Ahmad Ammar Dalam Kenangan". Akhirnya terjawab semua persoalan.

Allah, melihat "resume" beliau, terasa bertambah kerdil. Andai esok tiba ajal ku, dan disoal malaikat tentang usiaku - apakah yang telah ku manfaatkan dengannya? Di manakah usiaku aku habiskan? Apakah akan dapat aku memberikan jawapan sebaik jawapan Ahmad Ammar?

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Berbahagialah engkau di sana wahai Ahmad Ammar, di sisi sahabat Rasulullah, Abu Ayub al-Ansari (RA).

Al-Fatihah.

3. Perginya Azem dan Ahmad Ammar, takkan kembali lagi. Benarlah firman Allah:

"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka meminta penundaan atau percepatan sesaatpun." Ayat 34, Surah Al-A'raf.

Mati itu pasti, syurga dan neraka itu pasti. Giliran kami menyusul nanti, sehingga ketemu di sana nanti!

------------------------------
Muhamad Zayani Syazwan Zulkafli
November 21, 2013

No comments:

Post a Comment