Pages

Sunday, May 18, 2014

Sebutan Dia Tak Ada Sabdu!







Jemaah mula memenuhi surau untuk menunaikan solat maghrib. Pak Hassan pun dah bersedia untuk melaungkan iqamah. Saya memandang ke sisi kiri masjid, mencari-cari kelibat Imam Hafiz, Imam Surau Bukit Mulia. Tiada.

Wak Siak sudah mula menunjuk-nunjuk ke arah saya.

"Ya Allah, tolonglah imam datang... tolonglah imam datang... tolonglah imam datang...." hati saya terasa resah. Bukan apa, risau kalau-kalau dijemput menjadi imam!

Akhirnya Pak Hassan bilal surau mula melaungkan iqamah. Kelibat Imam Hafiz masih tidak kelihatan, beliau sakit barangkali. Saya mencari pula kelibat Ustaz Omar, nampaknya beliau juga tiada.

"Zul! Zul!" panggil Wak Siak. Wak Siak memang dari dahulu memanggil saya dengan nama bapa saya, Zul. Barangkali Wak dahulu pernah bekerja dengan orang putih.

Serba salah, akhirnya saya menggagahkan diri mara ke sejadah imam.

Semasa saya sedang membetulkan mic, sekali lagi saya mencari kelibat imam. Manalah tahu kalau dia ada. Tolonglah dia ada, tolonglah.

Masih tiada.

Kali ini saya akan mengimamkan jemaah Maghrib yang mana dalam kalangan mereka ada bersama Allahyarham Ustaz Ghazali Hasbullah. Ya Allah, terasa tidak layak mengimamkan seseorang yang begitu tekun menghampirkan dirinya pada-Mu Ya Allah. Kau kuatkanlah azamku Ya Allah.

Saya risau menjadi imam. Terasa diri jauh daripada ciri-ciri seorang yang adil. Kalau diri tidak adil, bagaimana mahu menjadi imam? Ya Allah, kau ampunilah dosaku Ya Allah.







Zaman Persekolahan


"Syazwan, tadi aku rasa kau ada salah baca masa solat Isya' tadi. Sepatutnya sebutan dia tak ada sabdu" tegur sahabatku Ahmad Irfan, dengan senaskah al-Quran di tangannya.

"Weyh Syazwan, aku rasa kau kena kuatkan sikit part yang ayat 10 tu. Kau baca kurang jelas" tegur seorang lagi sahabatku yang bernama Husaini Amin.

Alhamdulillah, terasa amat bersyukur kerana ada sahabat yang sudi menegur kesalahan diri. Semoga nanti saya tidak akan mengulangi kesalahan yang sama lagi.

Hidup di zaman persekolahan, mana yang salah, kami tegur depan-depan. Biarlah malu dahulu, daripada seksa kemudian. Zaman persekolan zaman menimba ilmu. Adat budak baru belajar, pasti melakukan kesilapan.

Zaman Pasca Persekolahan


"Tu Pak Bilal tu tak reti tajwid ke hapa?! Assyadu assyadu, harap mendayu-dayu je lebih tapi sebutan salah! Hapalah." rungut seorang ahli jemaah.

Pak Cik yang seorang ini saya kira seorang yang tinggi ilmunya, tetapi malangnya, dia hanya tahu cakap belakang. Usai azan dilaungkan, tidak pula pak cik ini berjumpa dengan Pak Bilal menegur kesalahannya. Dia masih terus menerus menyebarkan cakap-cakap buruk tentang Pak Bilal, sedikit demi sedikit menyebarkan fitnah-fitnah kecil yang akan menyusahkan dirinya di akhirat kelak.

Masalah sebahagian jemaah pasca persekolahan, tidak pandai menegur kesalahan secara berhikmah. Silap haribulan, Pak Bilal itu akan dilanda fitnah akibat cakap buruk Pak Cik tadi.

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kesusahan dan kedukaan. Aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan rasa malas". Aku berlindung kepada-Mu dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada-Mu dari banvak hutang dan kezaliman manusia."

Ya Allah Ya Tuhanku, kau temukanlah daku dengan sahabat-sahabat sebaik Ahmad Irfan dan Husaini Amin; yang mampu menegur daku bila diriku melakukan kesalahan. Amin.

Artikel ini pernah diterbitkan pada Julai 28, 2011

No comments:

Post a Comment