Pages

Saturday, April 25, 2015

Universiti Kilang Tenaga Kerja

Marah. Puluhan artikel diterbitkan di surat khabar dan alam maya. Rata-rata berpendapat, tindakan Scott Walker, Gabenor Wisconsin, yang ingin mengubah "The Wisconsin Idea" sudah melampau.

The Wisconsin Idea

The Wisconsin Idea secara dasarnya merupakan objektif, ataupun visi dan misi sistem Universiti Wisconsin yang terdiri daripada 26 kampus berasingan di sekitar negeri Wisconsin. The Wisconsin Idea membayangkan bahawa sempadan kampus Universiti Wisconsin ialah sempadan negeri. Universiti harus meningkatkan mutu kehidupan orang ramai, tanpa menghiraukan sempadan fizikal kampus.


Cadangan pengubahsuaian "The Wisconsin Idea" oleh Walker
(Strikethrough = dibuang; Underline = ditambah)


"Drafting Error"

Itu jawapan yang diberikan apabila disoal wartawan tentang pengubahsuaian yang dicadangkan beliau. Ramai yang mempersoalkan pengingkiran frasa "Basic to every purpose of the system is the search for truth" oleh Walker. Jika universiti tidak mencari kebenaran, makanya mencari apa? Mencari grant kerajaan untuk mengeluarkan kajian memuji semua tindak-tanduk pemerintah? Ataupun mungkin mencari dana dari syarikat-syarikat besar dengan mengeluarkan statistik palsu atau bias tentang bahaya sesuatu dadah?

Ramai juga yang mempersoalkan penambahan frasa "to meet the state's workforce needs". Kata mereka, apakah di akhirnya, universiti ini sekadar kilang pekerja? Cukuplah universiti menghasilkan pekerja-pekerja zombie. Mereka tidak perlu berpandangan jauh untuk membantu penambahbaikan kehidupan masyarakat, cukuplah jika mereka dapat memenuhi jawatan-jawatan kosong sekitar negeri. Lebih baik lagi jika mereka tidak mempersoalkan tindakan-tindakan kerajaan yang mencurigakan.

Kebenaran itu tidak penting. Pendidikan itu hanya sebagai alat yang diberikan kilang universiti untuk mempersiapkan diri sebelum terjun ke alam pekerjaan.

Bersyukurlah rakyat Wisconsin kerana ramai yang prihatin. Governor Walker sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan mengubah "The Wisconsin Idea".

Ah, belajar universiti pun tak habis lagi. Baik kau diam!

No comments:

Post a Comment